KONSEP KEJIRANAN DALAM ISLAM

Pertama: Memahami konsep toleransi dan tiada paksaan dalam Islam.
 Islam bersifat agama yang mengiktiraf kedudukan manusia yang bersifat pelbagai agama (multi-religious) dan pelbagai budaya (multicultural). Kerana itu, Islam memberikan kebebasan dan menegaskan bahawa tiada paksaan dalam Islam. Justeru, memainkan isu atau sentimen perkauman sama ada berdasarkan agama atau bangsa atau keturunan atau kaum bukanlah daripada Islam. Sedarlah, tiada penyelesaian yang boleh dicapai dengan membangkitkan isu perkauman. Sesungguhnya mustahil untuk kita menyatukan rakyat Malaysia sebagai satu kaum, tetapi kita mampu untuk menjadikan mereka sebagai saudara seagama dengan menyeru kepada Islam.
 Kedua: Mewujudkan suasana harmoni dan kemesraan.
Sesungguhnya individu atau jiran yang baik pasti akan menjalinkan hubungan baik sesama jiran. Saling kenal mengenali, saling bertegur sapa, melemparkan senyuman, sentiasa bertanya khabar dan berusaha untuk tidak menimbulkan masalah yang boleh membawa kepada persengketaan seperti membuka keaiban jiran tetangga.
 Ketiga: Tolong menolong atau bantu membantu dalam pelbagai urusan.
Antara pesanan Nabi SAW berkaitan jiran ialah supaya kita membantu mereka dalam segala urusan seperti menziarahi apabila sakit atau kematian, mengiringi jenazah dan mengucapkan tahniah atau takziah pada waktu-waktu yang bersesuaian. Umumnya, tolong menolong dalam perkara kebaikan.
 Firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah ayat 2:

 “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan
dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan
dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana
sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang
melanggar perintahNya)."
 

Keempat: Menjaga hak-hak mereka dan tidak menimbulkan ketidakselesaan.
 Antara pesanan Nabi SAW berkaitan hal ini ialah jangan meninggikan dinding kerana ia akan menghalang laluan angin dan penglihatan kecuali dengan izin mereka. Memberikan sedikit dari masakan apabila ada bau yang menimbulkan keinginan. Selain itu, adab-adab lain dalam kehidupan berjiran ialah janganlah meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa memikirkan hak-hak orang lain, mengganggu urusan keluarmasuk jiran, mengganggu kelancaran jalan, dan hendaklah menjaga hasil buangan seperti sampah agar tidak menggangu keselesaan dan kebersihan persekitaran.
 Kelima: Memperlihatkan keindahan Islam dalam segala urusan kehidupan.
 Satu tanggungjawab penting kepada setiap Muslim untuk menyampaikan serta memperlihatkan keindahan Islam kepada jiran yang bukan Muslim. Inilah peluang dan ruang dakwah kita kepada mereka. Apabila mereka dikenali maka lebih mudah untuk kita dekati. Perlihatkan diri kita sebagai Muslim yang ikhlas, amanah, benar, bertanggungjawab, berintegriti dan segala perilaku yang indah lagi mempesonakan. Dalam hal ini, Rasululllah SAW mengajarkan kita beberapa perkara untuk mendekati jiran yang bukan Islam iaitu dengan menghadiahkan sesuatu atau membahagiakan mereka dengan sesuatu.

http://e-masjid.jais.gov.my/uploads/uploads/KhutbahJumaat(Rumi)24012014.pdf

Comments

  1. untuk sebaiknya, tambahkan lagi bahannya merangkumi konsep definisi jiran menurut bahasa, istilah dan pendapat para sarjana

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

KESAN TIDAK BERADAP DENGAN JIRAN

AKHLAK TERHADAP JIRAN

KELEBIHAN HIDUP BERJIRAN